Catatan di bawah saya titip pada tahun terakhir saya duduk di kerusi wartawan sebuah syarikat akhbar terkemuka negara.
Saya kalah kepada arus kewartawanan perdana kerana tidak begitu cekap menghidu cerita-cerita "panas dan pedas".
Saya ingin kongsikannya hari ini, selepas 6 tahun ia berdiam dalam Google drive, setia menanti tanpa tahu akan tersiar atau tidak.
Tujuan berkongsi ini adalah untuk memberitahu teman-teman yang sedang patah hati di hari ini, hari sebelum 1 Ramadhan yang mulia, bahawa ujian Allah yang teruk, yang menjatuhkan, yang mematikan jasad dan jiwa, semuanya datang dengan kebaikan yang terhijab.
Semuanya datang memeluk kita dengan kasih sayang.
Semuanya mengajar cara memberi erti saat memberi dan menerima kasih sayang.
Cara melakukannya demi Tuhan, Allah Yang Satu.
===============================================================
Patah hati.
Mendengarnya sungguh melukakan. Penuh negativiti.
Acapkali ia singgah duduk di hujung nurani.
Persinggahan itu kadangkala begitu lama.
Cukup lama untuk memujuk jiwa lemah saya untuk lari sahaja daripada realiti.
Sesungguhnya benar-benar ia membuat saya benci.
Bukan pada perkara-perkara yang datang menghempap tanpa sempat berlindung. Bukan.
Itu penguat jiwa.
Asas jiwa masih amat peroi bagai pasir sahara. Sekali angin lalu, sekali ia berubah laku.
Yang peliknya, andai ia tegar segar-bugar, hidup kelihatan landai. Tiada warna. Kurang rasa. Hilang ritma. Longlai rentaknya.
Ah, Allah Maha Mengetahui segala kebaikan dan keburukan yang terhijab di balik tiap-tiap kejadian.
Cuma, saya benci merasainya. Benci pada kesedihan melampau yang sering menghakis iman kulit bawang saya ini dalam sunyi.
Dan tiba esok, hanya kedapatan lebih timbunan kesedihan, bukan secebis kelegaan jiwa yang diharap-harap. Dan lagi ada pula kesal.
Ah, patah hati. Kenapa begini.
Oh. Tuhan Maha Pemberi.
Betapa aku lupa.
Tuhan, daripada tiada Kau adakan aku.
Daripada mani yang hina, kau angkat seluruh umat manusia, termasuk aku, ke makam yang lebih tinggi daripada malaikat bermula daripada Adam alaihissalam.
Aku lupa bukankah selalu sangat lidah tak bertulang ini melafaz sumpah bahawa, “Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah RasulNya”.
Berapa kali selama hidup aku benar-benar hidup melalui sumpah itu.
Atau pernahkah benar-benar hidup melaluinya?
Jasadku telah menemui dunia lebih tiga dekad.
Tiga dekad yang aku belum pernah gila kelaparan.
Mana ada aku terhindar daripada melewati nikmat indahnya gunung-ganang hingga ke lembah sungai atau neon malam yang mengerlip di celahan batu-batu kota.
Mana ada aku terhalang mengaut kasih sayang mak dan (arwah) abah.
Mana ada aku terpisah daripada pen dan buku.
Cuma ada sesuatu.
Aku lupa dalam kesusahan ada kesenangan.
Aku lupa bahawa ujian tidak datang berseorangan. Ia datang bersama kasih sayang Tuhan Maha Penyayang. Ia datang untuk mengingatkan. Kawal fikiran, jangan biar jauh melayang.
Aku lupa bahawa tanpa patah hati, aku takkan belajar untuk berhati-hati
Aku lupa, entah ke berapa kali lagi.
Sesungguhnya patah hati buat aku lebih sedar diri.
Aku masih bangkit melawan dan percaya kuat-kuat Allah tidak dan takkan pernah meninggalkan aku sendiri.
27 Jan 2013
245pm, Kancut, Alor Star

Ulasan
Catat Ulasan